Rindu & cemburu


Rindu dan cemburu adalah permainan perasaan, ianya wujud pada setiap manusia. Tidak perlu disangkal rasa seumpama itu, kerana ianya adalah fitrah.
Namun, agak janggal bagi setiap pasangan yang bercinta. Kelibat rindu dan cemburu melebihi segala-galanya. Perasaan sedemikian mengubah corak hidup mereka. Tiada lagi kebahagiaan, tiada juga ketenangan.
Kebiasaannya, bagi mereka yang tidak bercinta , rasa cemburu dan rindu berada pada tempatnya. Tidak dibayangi dengan ketakutan yang tiada jasadnya. Jika ada sekalipun, perasaan itu langsung tidak membunuh jiwa si pemilik nyawa.

Jiwa Tidak Bebas



Manusia yang dirantai dengan perasaan cemburu dan rindu berlebihan terpaksa menjalani kehidupan yang meresahkan. Setiap hari dan setiap masa fikiran mereka melayang jauh memikirkan perkara yang membebankan.
" uish.. Awek aku ni buat apa ni. Apasal tak balas mesej?"..
"hmm..pakwe aku ni keluar dengan perempuan lain ke, kenapa off handset?"
Walaupun pada mereka nampak bahagia, namun hakikatnya susah hidup dengan kehidupan sebegitu rupa. Ruang masa yang sepatutnya bebas untuk dinikmati dengan bahagia kini bertukar sengsara. Jiwa terasa sempit kerana asyik memikirkan hal orang lain yang belum tentu menjadi miliknya. Itu belum lagi termasuk hal peribadi yang lain.
Sedangkan jika sebelum status "single" bertukar kepada " couple" setiap urusan begitu indah untuk ditempuhi. Tidak perlu menyibukkan diri untuk memikirkan perkara yang remeh temeh, apatah lagi untuk menyeksa perasaan mencintai sesuatu yang belum halal.

Ini Puncanya!
Manusia yang berhadapan dengan situasi sebegini sebenarnya hanya perlu tahu seperkara agar hidup tidak lagi terganggu. Anda hanya perlu tahu bahawa anda terpaksa menelan pahit ketika ini kerana kekasih anda masih belum halal untuk dimiliki.
Tidak boleh disentuh, sedangkan anda ingin yang disebaliknya.
Tidak boleh keluar berdua-duaan sedangkan hati anda mahu sentiasa bersamanya. Walaupun hakikatnya pada saat ini ramai yang lebih gemar melanggar 'jalan agama' asal dapat keluar berdua-duaan bersama orang yang dicinta.
Tidak boleh berpisah dengannya, sedangkan jika diikut kata hati, pasti anda mengikutnya ke mana sahaja pasangan anda pergi. Walau beribu batu jauhnya, walau dekat sejengkal, anda ingin tetap bersamanya. Hatta walau dia hanya mahu membuang hajat sekalipun, anda ingin mengekorinya. Benarkan? Tetapi itulah realitinya.
Kesimpulannya, begitulah perasaan rindu dan cemburu yang menyeksakan kerana seseorang itu belum memiliki sesuatu yang dimahukan. Ironinya, inilah yang dimaksudkan dengan cinta yang berlandaskan nafsu semata-mata.

Lihat Mentari Esok



Di sebalik langsir kehidupan tanpa ikatan, cuba anda bayangkan pula situasi selepas kahwin. Pasti semuanya berubah bukan? Jika dahulunya tidak boleh berpisah biarpun sementara kini 24 jam si dia di sisi anda. Siang dan malam asyik mengadap muka yang sama.
Makan bersama, tidur bersama dan melakukan pelbagai aktiviti lain juga bersama. Akhirnya Perasaan suka mungkin bertukar jemu. Malah kemungkinan tiada lagi perkara yang patut untuk disembunyikan.
Jika dulu adab sopan di jaga. Namun, selepas kahwin kentut pun dilepaskan begitu sahaja. Bertahak di hadapan pasangan sudah menjadi perkara biasa. Tiada yang istimewa menjadi rahsia untuk diterjemah. Semuanya telah diketahui sebelum ikatan suci bersemi. Akhirnya itulah perkara yang bakal menghiasi setiap hari pasangan berumah tangga.
Romantik sudah tiada, perasaan rindu dan cemburu pula entah ghaib hilang entah ke mana.

Bersabar Sementara


Kini, apakah anda sudah mengerti? Bahawa kita sebelum ini diperbodohkan dengan mainan perasaan yang dikawal syaitan. Jarumnya mencucuk hati dan fikiran manusia agar ia dapat mentertawakan manusia yang telah tunduk dengan arahannya.
Islam telah sempurna mendidik manusia dalam segenap sudut, termasuklah dalam aspek percintaan. Sebab itulah dalam hubungan umat islam dilarang sesekali melakukan perkara yang dilarang.
Tidak boleh keluar bersama selagi tiada ikatan, tidak boleh bersentuhan dan tidak boleh berurusan tanpa sebab-sebab yang utama.
Setiap perkara seakan ada halangannya, susahkan?
Anda tidak akan merasa sebegitu andai anda bijak meneka hikmah di sebalik semua itu. Kita hanya perlu menjauhi perkara yang dilarang dalam hubungan agar segala kekusutan terhindar.
Hanya perlu bersabar seketika, kerana itu ialah penawar untuk menempuh hidup yang bahagia di dalam alam rumahtangga. Namun jika anda masih tidak berpuas hati, Bernikahlah segera!

#iluvislam.com

Comments

Popular posts from this blog

Tahun baharu?

Cara Beli Kilo Bagasi Setelah Beli Tiket Flight

Mindset or typical?